TUARAN: Lima kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir di belakang BSN Pekan Tamparuli, di sini rosak dihempap pokok tumbang, hari ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 1.29 tengah hari.
Katanya, enam anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi didapati sebatang pokok besar tumbang dan menghempap lima kenderaan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, dua lagi lori jenis Nissan dan sebuah Proton Persona
“Pasukan bomba bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan gergaji berantai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Riki berkata, tiada mangsa terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 4.33 petang,” katanya.
Operasi itu turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tuaran.
Terdahulu, awal pagi tadi, berlaku hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa kes pokok tumbang di jalan raya dilaporkan di Kota Kinabalu dan sekitarnya.
Di Kota Kinabalu, antara lokasi berlaky pokok tumbang ialah di Jalan Pelabuhan Sepanggar, Jalan Rampayan, Sepanggar, Jalan Tuaran Bypass, dan Jalan Mat Salleh (UTC Tanjung Aru). – Info X