Search

Pidato perdana Anwar sempena Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah pada 4 Ogos

July 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan pidato perdana sempena Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada 4 Ogos depan.

Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata himpunan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 ahli dan penyokong parti termasuk rakan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, pidato disampaikan Perdana Menteri bakal mengupas pelbagai isu yang dekat dengan hati rakyat Sabah, selain berkaitan dasar dan perancangan kerajaan ri bawah pimpinannya.

“Perdana Menteri yang juga Presiden PKR dijadual tiba pada jam 11.30 pagi dan beliau akan menyampaikan pidato perdananya selepas acara bermula pada kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya pada sidang media berkaitan himpunan berkenaan, di sini, hari ini.

Katanya, selain Anwar seramai sembilan lagi pemidato dalam kalangan pemimpin PKR bakal menyampaikan pidato masing-masing sepanjang program itu yang bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata, antara isu yang bakal diketengahkan dalam pidato mereka termasuk berkaitan isu infrastruktur rakyat, kemiskinan, isu pengangguran belia, purata pencapaian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar Sabah yang rendah dan hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Acara ini adalah peluang untuk kita semua bersatu, menunjukkan solidariti dan memperbaharui komitmen kita terhadap kemajuan dan pembangunan negara yang kita cintai.

“Oleh yang demikian, barisan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN
Sabah mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan rakyat Sabah dalam himpunan ini.

“Kehadiran semua bukan saja akan menguatkan azam kami tetapi juga memberikan isyarat kuat mengenai kebersamaan kita dalam usaha mencapai keadilan, kesaksamaan, dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – Info X