Search

PRN17: Ke mana hala tuju PKR Sabah?

July 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah belum membuat sebarang keputusan mengenai hala tuju kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata sama ada PKR Sabah kekal dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau memilih gabungan lain hanya diputuskan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Kita akan cakap hal itu apabila kita sudah ‘cross the bridge’. Apa yang paling utama sekarang ialah kita kukuhkan Kerajaan Madani.

“Mengenai PRN, kita adalah sebahagian daripada kerajaan negeri, jadi kita mantapkan kerajaan sedia ada dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita akan terus sokong Ketua Menteri hingga habis penggal.

“Lepas itu biasalah, barulah kita runding dan di sanalah baru kita tahu siapa rakan strategik kita pada PRN nanti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai hala tuju parti itu, sama ada kekal bersama GRS atau menyertai gabungan lain termasuk Barisan Nasional (BN).

Ketika ini, katanya PKR mempunyai hubungan yang baik dengan GRS dan atas sebab itu, PKR mahu kerajaan yang dibentuk bersama ketika ini terus stabil demi kepentingan rakyat.

“Sebab itu Pakatan Harapan (PH) mendokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk memastikan negeri ini stabil.

“Kita tidak mampu lagi bertukar Ketua Menteri setiap dua tahun, sama seperti di persekutuan supaya kebajikan rakyat terjaga dan kita dapat fokus pembangunan negeri,” katanya. – Info X