TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencuri barang kemas bernilai RM30,000 milik anak saudaranya yang tinggal serumah di Taman Kuhara Jaya, di sini, petang tadi.
Suspek warga tempatan berusia 55 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, kurang 24 jam selepas mencuri barang kemas berkenaan, kira-kira jam 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, wanita berusia 34 tahun hanya menyedari selepas dua bentuk cincin berlian dan dua cincin emas yang disimpan di biliknya hilang dipercayai dicuri.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tawau, jam 11.03 pagi.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis memberkas suspek iaitu bapa saudara mangsa sendiri, pada 1.20 tengah hari tadi.
“Polis turut merampas semula barang kemas milik mangsa iaitu dua cincin berlian dan sebentuk cincin emas dianggarkan bernilai RM30,000 di rumah yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Jasmin berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau, suspek mempunyai empat jenayah termasuk di Selangor berkaitan dadah. – Info X