KOTA MARUDU: Usaha mencari seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang ketika keluar ke kebunnya di Kampung Tambilidon, Pitas, semalam akan disambung esok pagi.
Operasi mencari menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini membabitkan kekuatan seramai 22 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk penduduk kampung.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9).
Katanya, pencarian hari ini dibahagikan kepada tiga sektor dan setiap sektor berkeluasan kira-kira empat hektar.
“Pencarian menggunakan kaedah ‘zigzag’ dan radius pencarian mangsa tiga kilometer.
“Mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada 4.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi akan disambung pagi esok dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Mangsa Adau Tangas, 83, dikatakan ke kebunnya di Kampung Tambilidon pada 21 Julai lalu dan tidak pulang sehingga semalam sebelum keluarganya membuat laporan.
Operasi SAR kemudian dilakukan oleh JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan penduduk kampung. – Info X