PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong penuh langkah Kerajaan Sabah untuk memuktamadkan tuntutan 40 peratus yang dikemukakan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata rundingan mengenai perkara itu perlu diteruskan, sama ada untuk menetapkan kadar pemberian khas atau memuktamadkan isu pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabah seperti dinyatakan dalam perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“Saya menghargai usaha Kerajaan Negeri yang sudah mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
“Langkah ini amat positif ke arah usaha penyelesaian isu yang telah berlanjutan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO, di sini, hari ini.
Kelmarin, Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh menyatakan bahawa kerajaan negeri sudah menjalankan tugas secara profesional dan berdedikasi dalam usaha menuntut pemberian khas 40 peratus.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, UPKO mengalu-alukan kenyataan Peguam Besar Sabah itu berkaitan perkembangan tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan, komitmen Kerajaan Perpaduan dan kesediaan Kerajaan Negeri untuk terus mengadakan rundingan berkaitan perkara itu.
“Saya akan memainkan peranan bagi membantu merealisasikan aspirasi rakyat Sabah dan Kerajaan Sabah menjayakan tuntutan ini melalui platform yang saya anggotai dalam Kabinet Persekutuan, Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jawatankuasa Teknikal MA63,” katanya.
Beliau berharap semua pemimpin di negeri ini terus bersatu hati untuk sama-sama memperjuangkan tuntutan itu demi kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhannya.
“Saya juga berharap agar Kerajaan Negeri dapat mengadakan taklimat khas dari semasa ke semasa bersama Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) untuk memberi penjelasan yang lebih terperinci dan memaklumkan perkembangan terkini berkaitan tuntutan ini,” katanya. – Info X