RANAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seboleh-bolehnya mahu memenangi semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata dengan adanya perpaduan dalam kalangan semua parti komponen GRS, perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.
Beliau berkata, GRS memerlukan suara yang lebih kuat dalam tadbir urus negeri, namun untuk mencapai matlamat itu memerlukan kemenangan lebih banyak kerusi pada PRN akan datang.
“Ini bukan tugas untuk segelintir orang tetapi ia adalah misi untuk kita semua. Kami memerlukan sokongan anda, dedikasi anda dan undi anda.
“Perjalanan di hadapan mungkin mencabar tetapi dengan perpaduan dan keazaman, kita boleh mengatasi sebarang halangan. Kalau boleh GRS mahu menang di semua 73 kawasan DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-39 PBS Bahagian Kundasang, Karanaan dan Paginatan di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, semalam.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu mengajak belia di Sabah untuk menyertai PBS bagi sama-sama membawa aspirasi rakyat dan memimpin ke arah kemajuan negeri ini.
“Kita boleh mewujudkan sebuah parti yang bukan saja mewakili aspirasi rakyat kita tetapi juga memimpin dalam inovasi dan kemajuan.
“Penglibatan anda bukan sahaja diingini, malahan ia adalah penting. Biarlah suara kamu didengari dan biarkan tindakan kamu membentuk masa depan Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian PBS Kundasang turut mengingatkan ahli PBS supaya bangkit semula dan terus menyumbang kepada pertumbuhan serta kejayaan parti.
“Kita mesti menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan parti. Setiap daripada kita mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan dan bersama-sama kita boleh mencapai kegemilangan PBS.
“Marilah kita nyalakan semula semangat dan komitmen kita serta bekerja tanpa jemu untuk memperkukuhkan parti kita. Perpaduan dan kerja keras sentiasa menjadi asas kita dan kita mesti menerapkan nilai-nilai ini,” katanya.
Pada majlis itu, Dr Joachim turut menerima borang keahlian baharu PBS dari 30 kampung di Ranau berjumlah 1,741 orang. – Info X