KOTA MARUDU: Polis sedang mengesan seorang suspek wanita dipercayai menyeluk saku dompet milik seorang wanita di sebuah restoran di sini.
Kejadian itu berlaku pada jam 12.30 tengah hari, 20 Julai lalu ketika mangsa yang juga pesara berusia 59 tahun hendak membayar di kuanter restoran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa yang menyedari dompet duitnya hilang dalam beg sandang cuba berusaha mencari di sekeliling namun tidak menemukan dan mengesyaki dicuri sebelum membuat laporan polis.
Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai dan sebuah lagi di luar premis berkenaan.
“Semakan CCTV menunjukkan imej seorang wanita tidak dikenali telah berpura-pura melihat katalog menu sambil merapti mangsa di kuanter restoran berkenaan.
“Suspek seterusnya menyeluk beg sandang mangsa lalu mengambil dompet milik mangsa tanpa disedari sebelum kemasukan ke dalam beg sandang suspek dan bertindak keluar me arah pintu hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zairolnizal berkata, melalui rakaman CCTV luar menunjukkan suspek terbabit berjalan menuju ke arah sebarang jalan dan terdapat sebuah kereta jenis Proton Iswara warna putih dengan nombor pendaftaran kereta tidak kelihatan yang sedang menunggu.
“Mereka seterusnya beredar ke arah jalan raya utama. Mangsa tidak cam suspek kerana ketika kejadian ramai pelanggan dan mangsa tidak menyedari kejadian.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM2,500 termasuk wang tunai pelbagai note berjumlah RM1,800,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek wanita sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.
Semalam, tular satu video berdurasi 52 saat memaparkan dua wanita sedang melihat katalog menu di sebuah restoran di daerah berkenaan.
Dalam rakaman video itu, memaparkan tangan salah seorang wanita terbabit menyeluk beg wanita di sebelahnya yang sedang melihat katalog menu lalu mengambil dompet sebelum dilihat beredar dari restoran berkenaan. – Info X