Search

UMNO tidak tergugat jika slogannya dihayati – Bung Moktar

July 29, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Kedudukan UMNO Sabah tidak tergugat jika semua pemimpin dan ahlinya menghayati slogan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang menjadi pegangan parti itu sehingga kini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata slogan berkenaan adalah teras perjuangan UMNO yang perlu dihayati dan diamalkan setiap ahli parti itu.

Katanya, perjuangan dalam UMNO memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan ikatan, namun tidak semua ahli dapat menghayati dan mengamalkannya.

“Kita menyanyikan lagu UMNO – bersatu kita bersatu, bersama kita bersama, namun ada ketikanya kita tidak bersatu dan tidak bersama.

“Kerja kita lain-lain malah ada pula mengerjakan sesama sendiri. UMNO sepatutnya kuat, namun bila berlaku begini UMNO akan kalah dari dalam,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Kinabatangan, di sini, semalam.

Bung Moktar bersama pemimpin lain UMNO pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Kinabatangan di Sandakan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Kinabatangan, berkata jika pemimpin dan ahli parti bersatu dan bersetia dalam memperjuangkan objektif serta matlamat parti, selain berkhidmat dengan penuh dedikasi, UMNO tidak mampu diganggu gugat parti lain.

“Malangnya budaya adu domba, fitnah, gunting dalam lipatan masih menjadi amalan sebilangan pemimpin dan ahli parti menjadikan parti kita lemah sehingga UMNO Sabah menjadi pembangkang, terus dihina dan dicerca.

“Hal ini juga terjadi sepertimana dilakukan beberapa pemimpin UMNO di negeri ini yang dicalonkan parti dan memenangi pilihan raya tetapi kini tidak setia, malah meninggalkan UMNO begitu saja kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti.

“Lebih merunsingkan dan amat menyakitkan hati apabila melihat sikap sebilangan pemimpin UMNO yang bersama hanya ketika parti dalam keadaan gemilang tetapi menanggalkan slogan bersatu sewaktu parti hampir lumpuh selepas PRU14,” katanya.

Jelasnya, walaupun sedar dan memahami pentingnya semangat berpasukan dan berdisiplin dalam parti serta prinsip tanggungjawab bersama, namun pemimpin terbabit memilih untuk bersikap seperti orang bisu dan mempamerkan sikap memperlekeh kewibawaan saf kepemimpinan UMNO.

“Alhamdulillah ketika ada usaha pihak tertentu mahu mentalkinkan UMNO di Sabah dan ditakdirkan saya diberikan amanah oleh Presiden untuk mengetuai UMNO Sabah, bersama rakan-rakan yang masih setia dan memiliki prinsip perjuangan.

“Kita terus berusaha memulihkan imej UMNO dan sehingga kini masih mampu bertahan serta memberikan sumbangan terbesar dalam pembentukan kerajaan selepas PRN16 walaupun sumbangan itu dinafikan,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar mengajak ahli UMNO agar menjadikan slogan Bersatu Bersetia dan Berkhidmat sebagai satu tuntutan dan amalan pemimpin serta ahli bagi memperkasa UMNO untuk mencapai kemenangan pada PRN17 nanti. – Info X