Search

Masalah koordinasi punca kelewatan LPB Sabah

July 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Masalah koordinasi di antara syarikat kontraktor, konsultan dan agensi kerajaan punca utama kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kelewatan LPB Sabah tiada kaitan dengan status beliau selaku menteri dari Sarawak.

Katanya, dakwaan yang mengatakan beliau melebihkan LPB Sarawak berbanding LPB Sabah adalah tidak adil, malah menteri sebelum ini juga memberi tumpuan yang sama rata terhadap kedua-dua projek LPB itu.

“I’m not just a minister for Sarawakian, I’m a minister for all.

“Ini ikrar yang sering saya sebut, jadi tidak adillah apabila ada pihak yang menuduh kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah kerana saya hanya menumpukan kepada LPB Sarawak.

“Menteri terdahulu juga memberi tumpuan yang sama tara baik kepada LPB Sabah & Sarawak, dan fokus utama kementerian tentulah untuk memastikan projek ini dapat disiapkan dengan sempurna dan selamat buat semua penggunanya.

“Namun, dapat saya simpulkan masalah paling utama adalah masalah koordinasi di antara syarikat kontraktor, agensi kerajaan dan konsultan dengan masing-masing mempunyai kelemahan tersendiri,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau, hari ini.

Struktur jambatan projek LPB Sabah yang masih dalam pembinaan.

Perkongsian itu sempena lawatan kerja beliau meninjau perkembangan LPB Sabah Fasa 1A yang bermula di Sipitang ke Beaufort, Putatan dan Penampang, hari ini.

Tinjauan itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Alexander mengakui memang terdapat beberapa isu berkaitan projek LPB Sabah yang dibawa ke perhatian beliau secara terus pada hari ini.

“Saya telah mengarahkan mesyuarat koordinasi di antara semua pihak terlibat dibuat segera bagi memperhalusi dan menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang menyumbang kepada kelewatan.

“Saya memantau rapat perkembangan ini dan akan sentiasa berhubung dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan LPB Sabah dapat dimanfaatkan oleh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, kemajuan fizikal semasa keseluruhan kerja LPB Sabah Fasa 1A yang merangkumi 15 Pakej Kerja ialah 77.41 peratus.

Katanya, empat daripada pakej itu sudah disiapkan, iaitu WP05: Donggongon ke Papar pada 29 Ogos 2022, WP27: Kg Lot M ke Mile 32 pada 18 November 2022, WP15: Tawau ke Semporna pada 10 Ogos 2023 dan WP21: Lahad Datu Bypass pada 30 Oktober 2023.

“Sebanyak 11 pakej lagi masih di peringkat pembinaan dengan jangkaan siap keseluruhan pada Mac 2026,” katanya. – Info X

Pix – Alexander (kiri) bersama Shahelmey dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika tinjauan projek LPB Sabah di laluan Putatan-Inanam.Pix –