Search

PRN17: PBS, STAR kekal komited bersama GRS, nafi mahu tanding sendiri – Joniston

August 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kekal setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tidak mungkin bertanding sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu dijelaskan Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, sebagai menjawab dakwaan kononnya kedua-dua parti komponen GRS itu bakal bertanding solo pada pilihan raya akan datang.

Tegasnya, kedua-dua parti itu tetap bekerjasama sebagai sebuah gabungan dalam GRS untuk menghadapi PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, dakwaan kononnya PBS dan STAR bakal bertanding sendiri pada PRN17 adalah usaha terdesak pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bagi memecahbelah GRS berikutan peningkatan sokongan terhadap parti tempatan untuk terus mengetuai kerajaan.

“PBS dan STAR kekal komited terhadap gabungan tempatan GRS, bekerja bersama sebagai sebuah kesatuan hadapan dalam pertarungan pilihan raya yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menyusul berikutan satu video tular memaparkan keratan berita yang sudah disunting yang antara lain mendakwa kononnya PBS dan STAR merancang untuk bertanding secara solo.

Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS, berkata ada pihak tidak bertanggungjawab menyunting tajuk berita seperti dipaparkan dalam video berkenaan atas usaha terdesak untuk membuat naratif palsu.

Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai langkah strategik parti lawan dengan motif tersembunyi bagi menimbulkan perselisihan dalam kalangan parti komponen GRS.

“Secara terbuka, pihak tertentu sejak akhir-akhir ini kian melampaui batas untuk menyebarkan perkara tidak benar, dakwaan tidak berasas, dan dakwaan terhadap GRS serta kerajaan pimpinan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS sentiasa mengadakan perjumpaan dengan pemimpin parti komponen GRS yang menjadi bukti hubungan mesra di antara mereka.

Jelasnya, sudah menjadi perkara biasa apabila parti menyuarakan minat mereka untuk bertanding sebanyak mungkin kerusi yang pada akhirnya adalah perkara yang perlu dibincang dan diputuskan apabila tiba masanya.

“Perlu juga diambil perhatian bahawa memastikan kemenangan besar GRS adalah objektif utama memorandum persefahaman yang dimeterai PBS dan STAR sebelum ini.

“Tumpuan kita adalah untuk penyampaian tadbir urus yang baik dan pembangunan untuk rakyat Sabah. Kita tidak akan terganggu dengan dakwaan seperti ini,” katanya.

Sehubungan itu, Joniston meminta penyokong GRS dan orang ramai agar tidak mengendahkan maklumat yang salah, sebaliknya terus menyokong GRS yang berusaha menegakkan kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah. – Info X