KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew menyuarakan kebimbangan mengenai perpecahan rakyat disebabkan politik berikutan sentimen perkauman dibawa pembangkang di negara ini.
Beliau berkata pembangkang cuba memecahbelahkan rakyat di negara ini dengan menyebarkan fitnah yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
Jelasnya, situasi itu menjadi cabaran dalam pengukuhan sesebuah negara bangsa dan usaha bagi mengelak konflik yang hanya merugikan negara.
“Pengukuhan sesebuah negara bangsa amat penting kerana perpaduan mampu menyatukan kita agar tidak berlaku konflik yang hanya merugikan negara.
“Saya tidak khuatir kerana yakin rakyat Malaysia mampu bersatu, namun apa yang membimbangkan adalah perpecahan kerana politik.
“Inilah yang dibawa pembangkang hari ini yang memainkan sentimen perkauman dengan teruk. Mereka cuba memecahbelahkan rakyat dengan fitnah-fitnah yang mampu menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama,” katanya dalam pidatonya sempena Himpunan Perdana Rakyat PKR Sabah, di SICC, semalam.
Program itu turut dihadiri Perdana Menteri selaku Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api dan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu berkata, pembangkang terdesak menggunakan dakyah politik pecah belah kerana sedar sukar untuk menjatuhkan kerajaan.
“Mereka tahu tidak mampu menumbangkan kerajaan kerana kita mendapat sokongan dari semua pihak.
“Maka mereka mencipta propaganda bagi menimbulkan ketegangan dan kesannya sudah pasti pelancong tidak berani untuk datang ke negara kita dan pelabur tidak yakin kestabilan kerajaan kita,” katanya.
Berikutan itu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berterima kasih kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan kerana menunjukkan bahawa negara adalah kepentingan utama yang perlu dijaga.
Katanya, ekonomi Malaysia adalah antara paling kukuh di rantau ini dan meyaksikan sektor pelancongan berkembang pesat setiap tahun berdasarkan peningkatan jumlah pelancong.
“Semua ini berlaku kerana keyakinan mereka terhadap kestabilan negara kita dan inilah kepentingan sebuah negara bangsa.
“Percayalah, PKR akan memainkan peranan penting dalam memacu dan memperkukuh Malaysia sebagai sebuah negara bangsa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dari segi politik PKR membuktikan ia dapat bersama dengan parti lain demi kepentingan negara yang dapat dilihat menerusi Kerajaan Perpaduan.
Katanya program Himpunan Perdana Rakyat anjuran parti itu turut membuktikan perkara berkenaan berikutan kehadiran pimpinan parti lain dalam kerajaan sedia ada.
“Walaupun program ini adalah program PKR namun pimpinan utama semua parti tempatan hadir memberikan sokongan.
“Kita akan pastikan untuk terus memperkukuh kesatuan agar segala yang kita rancang demi kebaikan Sabah dan Malaysia dapat dicapai dengan mudah,” katanya.
Terdahulu, Christina mengimbau perjalanan politik PKR dan perjuangannya yang disertai beliau sejak kedatangan parti itu ke Sabah pada 1999.
“Sejak 25 tahun lalu, PKR terus memperjuangkan agenda rakyat. Kita mengangkat suara rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Sejak awal saya memilih untuk bersama PKR kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa. Saya sendiri merupakan calon pertama PKR Sabah pada tahun 2001.
“Dalam PKR kami ada berbagai bangsa sama ada Melayu, Cina, India, Bajau, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Iban, Bidayuh dan banyak lagi kaum.
“Begitu juga pegangan agama sama ada Islam, Kristian, Buddhist, Hindu dan lain-lain. Kepelbagaian ini bukan sahaja di peringkat akar umbi malah sampai di peringkat pimpinan tertinggi parti,” katanya.
Beliau berkata, PKR adalah cerminan sebenar perpaduan dan taat setia kepada Malaysia yang dibentuk sebagai sebuah negara daripada tiga entiti yang berbeza iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak.
“Begitu jugalah kami di PKR, taat setia kepada parti dan presiden kami walaupun perlu menunggu 20 tahun untuk menang dan 23 tahun untuk melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Parti ini diyakini rakyat Malaysia dan buktinya PKR mempunyai cabang di semua 222 kawasan Parlimen seluruh Malaysia termasuk semua 25 Parlimen di Sabah,” katanya. – Info X