Search

PRN17: PBS pegang janji kekal bersama GRS – Dr Joachim

August 5, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Parti Bersatu Sabah (PBS) komited terhadap janjinya untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata PBS akan terus bekerjasama dengan semua parti komponen GRS sejajar dengan pendirian parti itu.

Beliau memberi jaminan parti itu akan kekal berjuang dalam GRS dan memastikan gabungan berkenaan memenangi semua kerusi yang ditandingi.

“PBS akan tetap bersama-sama dalam GRS yang dipimpin oleh pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri.

“Saya percaya ini adalah masa untuk kita meningkatkan usaha dan kalau dapat kita mesti memenangkan GRS di semua kawasan kita bertanding.

“PBS akan pegang janji, ‘we are with GRS’,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-39 Bahagian PBS Bongawan, Membakut, Klias, Lumadan dan Sindumin, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim dan Naib Presiden, Datuk Ruslan Muharam, Datuk Johnny Mositun dan Datuk Arthur Sen.

Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menafikan dakwaan video tular di media sosial yang sengaja dibuat dan disebarkan pihak pembangkang yang mengatakan PBS-STAR akan bertanding solo pada PRN akan datang.

Sementara itu, beliau menyeru semua ketua bahagian parti itu agar bekerja keras untuk meningkatkan kekuatan parti di bahagian masing-masing.

Beliau mahu semua ahli parti terus bekerja untuk memastikan hak-hak rakyat Sabah terpelihara. – Info X