KOTA MARUDU: Selepas 35 jam bertarung nyawa, seorang Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang kritikal akibat kemalangan di Jalan Kota Marudu – Marak Parak, Kampung Hatob, di sini, pada 4 Ogos lalu, meninggal dunia malam tadi.
Masreh Masah, 50, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam tadi ketika menerima rawatan di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth I (QEH I).
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, kemalangan berlaku pada jam 10.30 pagi membabitkan kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dan motosikal jenis Yamaha R15 yang ditunggangi mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara Aeroback bergerak dari arah Marak Parak menuju ke Pekan Kota Marudu.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, ketika melalui jalan selekoh dan menuruni bukit, motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan disyaki hilang kawalan lalu masuk ke depan laluan Proton Iswara Aeroback lalu bertembung.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal yang parah pada bahagian perut mendapat rawatan awal di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu sebelum dihantar ke QEH I untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Simiun berkata, pihaknya menerima panggilan dari QEH I dan memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.30 malam tadi.
“Pemandu Proton Iswara Aeroback hanya mengalami luka-luka ringan pada tangan kanan dan kiri. Dia mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Simiun berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh tampil untuk membantu siasatan.
Katanya, polis juga mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu kenderaan atau menunggang motosikal. – Info X