Search

Isu 40 peratus: Warisan mahu kerajaan negeri bertindak balas

August 9, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Pemimpin Parti Warisan menggesa Kerajaan Sabah tidak berdiam diri terhadap kenyataan mengelirukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pulangan hasil 40 peratus kepada Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, berkata Perdana Menteri dalam ucapannya baru-baru ini menjelaskan bahawa kerajaan persekutuan memperuntukkan RM16 bilion kepada Sabah pada 2024 yang melebihi hasil cukai yang dikutip dari Sabah sebanyak RM10.2 bilion.

Katanya, Anwar juga menjelaskan kenyataannya ketika Pesta Kaamatan pada 31 Mei lalu bahawa kerajaan Pusat memberi RM16 bilion pada 2024, iaitu sudah lebih daripada 40 peratus pulangan hasil yang diperjuangkan Sabah.

Jelasnya, kenyataan Perdana Menteri berhubung peruntukan RM16 bilion yang dibelanjakan untuk Sabah itu, yang termasuk dalam peruntukan pembangunan dan pelbagai perbelanjaan termasuk sekolah, pendidikan, dan keselamatan sempadan adalah sesuatu yang mengelirukan.

“Semua peruntukan yang disebut oleh Perdana Menteri itu adalah di bawah tanggungjawab persekutuan terhadap Sabah iaitu pembangunan, pendidikan dan keselamatan adalah tanggungjawab persekutuan.

“Angka ini tidak sepatutnya dikaitkan dengan hak 40 peratus hasil yang menjadi hak perlembagaan Sabah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malah perkara ini telah dibangkitkan oleh pakar undang-undang Sabah, bekas Presiden Sabah Law Society (SLS) Sabah, Datuk Roger Chin.

“Persoalannya, mengapakah pemimpin Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan (GRS-PH) di Sabah begitu senyap mengenai perkara ini sedangkan mereka tahu ia salah?,” katanya dalam satu kenyataan.

Calvin berkata, kenyataan Perdana Menteri itu memberi gambaran bahawa Sabah masih ada masa panjang untuk mencapai hak 40 peratus yang sepatutnya dipulangankan kepada negeri ini.

“Sekiranya angka RM10.2 bilion yang didedahkan Perdana Menteri adalah betul, maka Sabah sepatutnya mendapat kira-kira RM4 bilion sebagai pulangan, iaitu perbezaan yang besar daripada RM300 juta yang kita perolehi melalui bayaran interim yang dipersetujui oleh persekutuan dan kerajaan GRS Sabah,” katanya.

Calvin mengingatkan kerajaan negeri bahawa rakyat Sabah sedang memantau dan melihat tindakan mereka dalam memperjuangkan hak Sabah.

Beliau berkata, tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengelak soalan berhubung hasil kutipan RM10.2 bilion seperti yang dilaporkan media menunjukkan Hajiji seperti tidak mempunyai pengetahuan mengenai angka sebenar atau tidak berani bercakap menentang Perdana Menteri walaupun ia jelas berkaitan dengan hak Sabah.

“Saya percaya bahawa rakyat di Sabah cukup bijak untuk menilai sendiri jika pemimpin nombor satu dalam GRS mempunyai keupayaan untuk memperjuangkan hak Sabah, terutamanya apabila ia berkaitan dengan hak 40 peratus Sabah,” katanya. – Info X