Search

Dr Joachim tolak tohmahan hanya muncul menjelang PRN

August 21, 2024

Info X Reporters

RANAU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam menolak tohmahan yang mendakwa beliau hanya muncul di kawasan diwakilinya apabila menjelang pilihan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu sebaliknya berkata beliau sering turun padang untuk bertemu rakyat sambil meninjau perkembangan kawasan yang diwakilinya.

Katanya, kerajaan banyak melaksanakan projek pembangunan untuk manfaat rakyat di DUN Kundasang seperti bekalan elektrik, jalan raya dan bekalan air bersih sejak beliau menjadi wakil rakyat.

Dr Joachim (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Kampung Mansalu melalui Pengerusi JKKK.

“Pembangunan seperti ini akan diteruskan oleh kerajaan sekarang yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Karagasan, di sini, semalam.

Majlis itu sempena lawatan kerja dua hari bersama jentera pentadbiran DUN Kundasang di beberapa kampung dalam kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karagasan.

Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu, berkata ia bukan lawatan pertamanya ke PDM berkenaan, sebaliknya sudah beberapa kali beliau turun padang di kawasan itu.

Pada majlis itu, Dr Joachim turut berterima kasih atas sokongan yang diberikan kepada beliau sehingga ke hari ini dan berharap sokongan akan berkekalan sehingga Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Dr Joachim (tengah) bersama penduduk Kampung Gusi ketika meninjau tapak dewan mini baharu kampung itu.

Beliau menyarankan pengundi di PDM itu untuk menyokong siapa saja yang akan dicalonkan GRS pada pilihan raya itu.

Dalam majlis sama Dr Joachim turut menyerahkan sumbangan enjin bot kepada Pengerusi JKKK Kampung Agan, Namaus, Gusi dan Karagasan untuk kegunaan penduduk kampung masing-masing.

Sementara itu, sepanjang lawatan berkenaan, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri sempat meninjau tapak mini dewan Kampung Gusi dan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduknya serta merasmikan balai raya baharu Kampung Agan. – Info X