LAHAD DATU: Cubaan penyeludupan untuk mendapatkan bekalan disyaki minyak petrol gagal apabila berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan daerah ini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, juragan bot bertindak terjun ke laut selepas menyedari kehadiran pasukan APMM Lahad Datu di kedudukan 0.5 batu nautika timur Kampung Tanjung Batu.
Pengarah APMM Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan melalui maklumat awam.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa 35 tong minyak kosong anggaran setiap tong 20 liter disyaki untuk diisi dan menyeludup minyak petrol bagi tujuan dibawa ke luar dari negara ini.

“Juragan terbabit berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke pesisir pantai berhampiran selepas menyedari kehadiran bot ronda APMM.
“Bot seterusnya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas 35 tong minyak kosong, wang tunai dalam nilai mata wang asing dan ringgit, sebuah bot pam dan dua enjin pam.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,000,” katanya.
Sementara itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah di laut boleh menyalurkan kepada APMM menerusi Pusat Operasi APMM Lahad Datu di talian 089-885727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera. – Info X