LAHAD DATU: Perjalanan tiga beranak menuju ke tempat kerja bertukar tragedi apabila seorang maut manakala dua anaknya parah selepas kereta dinaiki disyaki hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 32 Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.25 malam itu, pemandu kereta jenis Proton Saga BLM, Rey Davila, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dua anaknya iaitu Reymar, 22 dan Rendell, 27, parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Kunak.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa warga tempatan datang dari arah bandar Lahad Datu ke Tawau disyaki hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Lahad Datu.
“Dua lagi penumpang terbabit parah dan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan polis.
Sehubungan itu, katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mana-mana individu yang melihat kejadian ini, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
“Pengguna jalan raya dinasihat supaya memandu dengan berhati-hati dan berhemah agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, ketiga-tiga mangsa yang terbabit tersepit di dalam kereta dan mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
Katanya, pasukan bomba membawa seorang mangsa ke hospital dengan jentera EMRS dan seorang lagi menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia. – Info X