KUALA LUMPUR: UMNO Sabah mahu pemimpin dan ahlinya menyahut cabaran presiden untuk melihat parti itu kembali dominan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata harapan disuarakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu perlu disahut dengan semangat, pendekatan dan gerak kerja lebih mantap serta konsisten.
Katanya, untuk menjadi dominan, UMNO Sabah perlu merampas semula kerusi tradisi parti itu yang sebelum ini dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) tetapi wakil rakyatnya menyertai parti lain atas kepentingan peribadi.
“Oleh itu pemimpim dan ahli UMNO di Sabah perlu menyahut cabaran dengan satu semangat dan budaya kerja berpasukan bagi memastikan kejayaan dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata UMNO pernah dominan di Sabah, malah menjadi penyumbang terbesar kepada pembentukan kerajaan negeri selepas PRN-16.

“Namun, jasa dan sumbangan besar UMNO tidak dihargai walau menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri. Kita umpama ‘melukut di tapi gantang’.
“Lebih memeritkan lagi ada pemimpin UMNO Sabah mengamalkan budaya adu domba hingga menyebabkan UMNO disinggirkan dari kerajaan negeri kerana dikaitkan dengan Langkah Kinabalu.
“Bagaimanapun, sehingga kini Langkah Kinabalu itu gagal dibuktikan kerana tidak ada akuan bersumpah (SD) yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.
Pengerusi BN Sabah itu berkata keutamaan UMNO ketika ini ialah menyusun jentera dan mengukuh penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat termasuk akar umbi.
Sehubungan itu, Bung Moktar menggesa pemimpin dan ahli UMNO di Sabah supaya mencipta sentimen, naratif dan aura positif untuk mendekati hati rakyat serta meraih sokongan mereka.
Jelasnya, pemimpin UMNO juga perlu menjadi peneraju dalam pemikiran rakyat bagi mengekang fitnah yang dilemparkan pihak tertentu dengan menguasai penggunaan media sosial.
Beliau berkata, pendekatan itu adalah acuan penting yang perlu dilaksana bagi memastikan kelangsungan parti sekali gus kekal menjadi pilihan.
“UMNO mesti sesuaikan diri dalam persekitaran politik. UMNO perlu mengekang fitnah yang cukup dahsyat di media sosial dan UMNO perlu mengubah mod daripada defensif kepada ofensif.
“Kita harus cipta sentimen, naratif dan aura positif untuk kita dekati hati rakyat. Saya mahu lebih ramai pemimpin UMNO bermula dari peringkat bahagian, cawangan dan sayap sayap UMNO meneroka pendekatan baharu dan tidak lagi berada di tampuk lama,” katanya.
Bagaimanapun, Bung Moktar turut mengingatkan agar kaedah tradisi bertemu rakyat secara berkesemuka perlu diteruskan bagi memastikan ikatan lebih mesra dan akrab.
Dalam perkembangan yang sama, Bung Moktar mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya tidak meninggalkan saf UMNO apabila diuji.
“Yang penting jangan ada khianat apabila diuji oleh lawan, jangan ada rambang mata kerana ditawar jawatan, jangan lari daripada perjuangan.
“UMNO tetap menjadi wadah perjuangan kita pada hari ini. Kita mesti mempunyai jati diri dalam perjuangan,” katanya. – Info X