KUDAT: Sebuah taman perindustrian baharu dicadang diwujudkan di daerah ini bagi membuka potensi dan peluang untuk mengembangkan pertumbuhan ekonomi di kawasan utara Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembukaan taman perindustrian juga disasar sebagai satu usaha ke arah membawa pembangunan di daerah ini.
Katanya, pengwujudan taman perindustrian di Kudat sesuai kerana daerah ini mempunyai pelbagai kemudahan sedia ada termasuk laut yang dalam dan pelabuhan.
Jelasnya, lokasi daerah ini juga sangat strategik kerana dekat dengan beberapa negara seperti China, Korea dan Jepun.

“Justeru, amat penting untuk kita membawa pembangunan di daerah ini dengan pembinaan taman perindustrian yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk dan daerah ini.
“Seluas kira-kira 5,000 ekar kawasan diperlukan dan kita sudah mengenal pasti kawasan terbabit. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat, Ahli Parlimen dan rakyat yang mungkin terlibat tanahnya.
“Konsep kita bukan ambil tanah tetapi kita libatkan rakyat yang ada tanah di kawasan yang dikenal pasti.
“Bagaimanapun, kita akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri serta Ahli Parlimen di daerah ini,” katanya katanya pada pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024, di Dataran Tomborungus, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.
Hajiji berkata, cadangan itu perlu diteliti secara terperinci terlebih dahulu menerusi perbincangan dengan semua pihak yang terbabit.
Sementara itu, pada majlis berkenaan Hajiji menyerahkan 444 geran tanah anak negeri kepada penduduk di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, membabitkan keluasan 1,130.09 hektar.

“Dengan penyerahan geran tanah ini, kerajaan berharap dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan memberikan mereka peluang untuk membangunkan tanah demi masa depan yang lebih cerah.
“Penyerahan geran tanah anak negeri pada hari ini berikutan beberapa siri penyerahan geran tanah yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan antaranya di Pitas dan di Pintasan, Kota Belud.
“Ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
“Tanggungjawab ini diambil dengan penuh dedikasi untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan sosio ekonomi rakyat,” katanya.
Pemberian geran itu masing-masing 353 untuk DUN Matunggong; DUN Tanjong Kapor (55 geran) dan DUN Banggi (36 geran).
Mengenai majlis itu, beliau berkata Program Bakti Madani Kudat 2024 adalah satu pendekatan yang sangat relevan bagi meluaskan lagi kefahaman konsep Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada masyarakat hingga ke peringkat akar umbi. – Info X