KOTA KINABALU: Meskipun berdepan cabaran sukar, skuad bola sepak wanita Sabah FA tetap ‘melawan’ untuk bersaing dalam pusingan awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas yang bermula esok.
Ketua Jurulatihnya, Justin Ganai, berkata pasukan bimbingannya akan memberikan saingan terbaik walaupun banyak kekangan yang terpaksa ditempuhi dalam persediaan ke kejohanan antarabangsa itu.
Beliau mengakui persiapan yang sangat singkat, dengan beberapa pemain baru saja dibawa masuk kira-kira seminggu lalu, selain tempoh latihan yang terhad dan faktor cuaca tidak mencukupi untuk memperkukuh pasukan.
“Kita sudah cuba sedaya upaya bersedia untuk kejohanan ini, tapi memang banyak masalah kita hadapi terutama cuaca sekarang musim hujan.
“Padang pula, kita tidak dapat guna padang Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk latihan setiap hari dan hanya beberapa hari lalu baru dapat padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk berlatih.
“Maknanya, persiapan kita tidak begitu lengkap untuk kejohanan ini, tapi kita cuba main yang terbaik, itu sasaran kita dan kita sama-sama lihat keputusannya nanti,” katanya pada sidang media sempena kejohanan pusingan awal ACWL, di sini, hari ini.
Skuad bola sepak wanita Sabah FA melakar sejarah sebagai pasukan bola sepak wanita pertama negara berjaya ke kejohanan antarabangsa peringkat AFC.
Sabah bakal bertemu APF FC dari Nepal pada 28 Ogos ini, disusuli perlawanan menentang PFC Nasaf dari Uzbekistan pada 31 Ogos, kedua-duanya berlangsung di Stadium Likas bermula jam 8 malam.
Sementara itu, esok adalah pertemuan di antara APF FC dan PFC Nasaf yang juga berlangsung di Stadium Likas pada jam 8 malam.
Justin berkata pengurusan Sabah FA juga berusaha mengukuhkan pasukan dengan kemasukan tiga pemain import, selain pemain kebangsaan iaitu kapten Malaysia, Steffi Sarge Kaur dan Intan Sarah Anisah Zulgafli atau Intan Serah.
Katanya, Sabah FA juga mendapat khidmat penjaga gol wanita nombor satu Malaysia, Nurul Azurin Mazlan.
Pemain import yang baru seminggu menyertai pasukan ialah Eri Narita dan Misaki Nakayama dari Jepun, manakala seorang lagi dari Myanmar.
“Kita mendapatkan khidmat beberapa pemain tambahan iaitu dua dari pemain (kebangsaan) Malaysia, iaitu Steffi dan Intan Serah, selain kita memang ada Azurin yang juga penjaga gol nombor satu Malaysia.
“Import pula ada dua orang dari Jepun dan seorang dari Myanmar, tapi mereka baru sampai seminggu lalu, jadi persediaan sangat singkat.
“Sudah tentu keserasian mereka dengan pasukan juga belum mantap kerana sangat singkat, tapi kita mengharapkan pengalaman mereka dapat membawa semangat dan permainan yang berkualiti,” katanya.
Justin turut berterima kasih kepada SAFA dan FAM kerana memilih Sabah sebagai tuan rumah bagi kejohanan antarabangsa itu.
“Ini adalah perlawanan pertama di Malaysia (ACWL) dan Sabah FA mewakili Malaysia, jadi kita berharap peminat bola sepak datang beramai-ramai menyaksikan kejohanan ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui bermain di tempat sendiri tidak memberi kelebihan kepada pasukan bimbingannya berikutan cabaran besar yang perlu ditempuhi sepanjang dua perlawanan itu. – Info X
Pix – Jadual perlawanan pusingan awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas.