TAMBUNAN: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas masuk ke hutan dalam kejadian di Hutan Simpan Raflesia, Kampung Sunsuron, di sini, Rabu lalu, ditemui selamat, petang tadi.
Mangsa Selvenus Jounis, 24, yang dipercayai tersesat ditemui oleh kakitangan Jabatan Perhutanan kira-kira dua kilometer daripada lokasi terakhir selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitcell Francis George berkata, mangsa berjaya ditemui di belakang stor Bangunan Raflesia pada jam 3.22 petang.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dan terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Mitcell Francis berkata, dalam kejadian Rabu lalu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 2.39 petang.
Katanya, mangsa dilaporkan masuk ke hutan berkenaan bersama sepupunya untuk mencari daun keladi kira-kira jam 4 pagi.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, mangsa masuk semula ke hutan untuk mengambil rokok kirai yang tertinggal di tempat mengambil daun berkenaan.
“Sepupu mangsa yang menunggu di sebuah pondok berhampiran berasa curiga selepas mangsa tidak kembali semula dalam tempoh masa lama.
“Sepupu mangsa terus berpatah balik ke lokasi untuk mencarinya namun gagal sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Mitcell Francis berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama penduduk kampung.
Katanya, operasi bagaimanapun gagal menemui mangsa sebelum usaha mencarinya disambung semula keesokkan harinya. – Info X