KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seramai 496 individu dan merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM80.11 juta menerusi Op Tiris 3.0 yang bermula 1 Januari hingga 28 Ogos lalu.
Ini meliputi bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak paket satu kilogram, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih bertapis satu kilogram.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 28 Ogos 2024, sebanyak 29,487 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.
“Daripada jumpah itu, sebanyak 2,005 kes direkodkan dengan 496 individu berjaya ditangkap membabitkan warga tempatan dan warga asing dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM80.11 juta.
“KPDN akan terus meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Bertemu Masyarakat dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dewan Tomborungus, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata dalam satu kes terbaharu pada 23 Ogos 2024, KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan ke atas tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan.
Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak 180,200 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian.
“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi tersebut dianggarkan berjumlah RM490,500. Bagi membantu siasatan, seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bersama dua orang lagi lelaki warga asing yang juga merupakan pekerja syarikat berkenaan telah ditahan.
“Hasil siasatan awal, aktiviti yang disyaki telah didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini adalah bertujuan menyeleweng dan memindahkan (decanting) minyak masak paket bersubsidi satu kilogram untuk jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup keluar ke negara jiran,” katanya.
Jelasnya beliau lagi, siasatan sedang dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) termasuk bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi itu.
“KPDN ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak paket bersubsidi satu kilogram untuk lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.
“Selain pemborong dan peruncit, pihak syarikat pembungkus (repackers) juga tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan,” katanya.
Menurutnya, syarikat pembungkus (repackers) akan turut disiasat
sekiranya sesuatu jenama yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dirampas dalam mana-mana operasi penguatkuasaan. – Info X