Search

MARA bawa ProsPEC ke Sabah, 16 outlet jenama khas sudah dibuka

September 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 16 outlet jenama khas MARA dibuka menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) MARA yang baru dikembangkan di Sabah pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, berkata pembukaan outlet terbabit berjaya mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan, setakat ini.

Beliau berkata, daripada 16 outlet itu, sebanyak 13 outlet adalah Uni Klinik dan dua premis Uni Dental untuk klinik gigi, manakala satu lagi ialah outlet menyediakan khidmat perakaunan, PACCT.

“ProSPEC Sabah pada hari ini berjaya membangunkan 13 buah Uni Klinik, dua Uni Dental dan satu PACCT (Perakaunan).

“Setakat Disember 2023, sejumlah RM5 juta dana pembiayaan disalurkan bagi 16 pembukaan cawangan jenama khas di Sabah ini.

“Limpahan manfaat daripada usaha ini juga menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Bahkan, rekod jualan usahawan juga sangat memberangsangkan dengan jumlah RM4.072 juta setakat Ogos 2024,” katanya ditemui selepas Majlis Peluncuran ProSPEC Sabah, di sini, hari ini.

Zulfikri (tiga kiri) menyerahkan watikah pelantikan usahawan Uni Klinik menerusi Program ProsPEC MARA di Kota Kinabalu.

Hadir sama ialah Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat.

Zulfikri berkata, sebanyak 13 lagi outlet termasuk Uni Farmasi dijangka dibuka menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan berdasarkan sambutan baik masyarakat terhadap jenama khas MARA itu.

“Setakat ini, MARA Sabah sudah melatih seramai 29 usahawan Bumiputera profesional untuk memulakan perniagaan sendiri dalam bidang perubatan, pergigian dan perakaunan menerusi Program ProSPEC.

“ProSPEC adalah sebuah program khas keusahawanan berstruktur yang lebih memfokuskan bidang perubatan, farmasi, kejuruteraan, guaman, perakaunan, seni bina juruukur bahan, dan lain-lain bidang profesional.

“Alhamdulillah, jumlah itu adalah yang kedua tertinggi selepas Selangor. Ini adalah satu platform menggalakkan golongan profesional memiliki perniagaan sendiri melalui jenama khas Uni Klinik, Uni Dental, Uni Farmasi dan PACCT,” katanya.

Beliau berkata, jenama khas itu diwujudkan sebagai ‘platform’ kepada golongan profesional seperti doktor untuk memulakan perniagaan sendiri dengan sokongan dana daripada MARA. – Info X