Search

Lebih banyak program CSR Jetama untuk manfaat rakyat

September 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Development Berhad (SDB) melalui anak syarikatnya, Jetama Sdn Bhd merancang untuk melaksanakan lebih banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk manfaat rakyat negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung, berkata pendekatan dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu adalah contoh yang wajar diikuti semua GLC dan syarikat senarai awam dalam membantu masyarakat.

Katanya, bagi SDB, khususnya Jetama, CSR syarikat itu akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan rakyat di seluruh negeri.

“Kita sentiasa komited untuk melaksanakan program CSR kepada rakyat Sabah kerana sebagai GLC, ia lebih mudah dilaksanakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Kunci daripada Jetama kepada Persatuan Perkhidmatan Ambulans Lions (LASS) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Hadir sama Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Abdul Mannan dan timbalannya, Datuk Juhari Janan; Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang dan Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui Fui.

Majlis itu sebagai simbolik penyerahan sebuah ambulans serba lengkap untuk kegunaan persatuan berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan di sekitar Kota Kinabalu.

Frankie berkata, sumbangan CSR seumpama itu juga akan diperluaskan ke kawasan lain seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna, bergantung kepada keperluan penduduk.

Terdahulu dalam ucapannya, Frankie berkata sebagai GLC, peranan Jetama bukan saja dalam pembangunan infrastruktur atau korporat tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan perkhidmatan kesihatan masyarakat.

“Penyediaan sebuah ambulans hari ini adalah bukti kepada visi bersama kita untuk mewujudkan Sabah yang lebih selamat dan sihat.

“LASS melakukan kerja luar biasa dalam menyediakan perkhidmatan yang cepat dan menyelamatkan nyawa kepada mereka yang memerlukan.

“Kerjasama ini adalah peluang bagi kami untuk memberi kembali dan memperkukuh kapasiti untuk terus memberikan perkhidmatan yang amat bernilai kepada masyarakat.

“Dengan sumbangan ini, kami berharap dapat meningkatkan kecekapan dan capaian Perkhidmatan Ambulans Lions, memastikan lebih ramai orang mendapat manfaat daripada pengangkutan perubatan yang lebih pantas dan boleh dipercayai,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi LASS, Karen Koh, berkata perkhidmatan ambulans Lions di Kota Kinabalu dimulakan pada 2010 dengan dilengkapi dua ambulans ketika ini.

Sepanjang tempoh itu, katanya lebih 8,000 kes kecemasan dikendalikan pasukan LASS yang disertai empat jururawat sepenuh masa yang bertugas 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Katanya, LASS amat menghargai sumbangan ambulans daripada Jetama itu dan menganggapnya sebagai pemberian yang sangat bermakna dalam membantu melaksanakan kerja kemasyarakatan. – Info X