Search

Sabah antara enam negeri penyumbang terbesar KDNK Malaysia 2023

September 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan hasil sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu, menjadikan negeri ini antara enam negeri penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Julai lalu menunjukkan Sabah menyumbang 5.5 peratus kepada KDNK negara tahun lalu.

“Bersama dengan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang, kita menyumbang sebanyak 73 peratus kepada ekonomi negara.

“Pada tahun lalu juga, kita menerima pelaburan sebanyak RM11.34 bilion, yang ketujuh tertinggi di Malaysia, dengan 13.3 peratus daripadanya datang dari sektor pembuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia Kelapan (ESTCON) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Program anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan PETRONAS itu buat julung kali diadakan di negeri ini, dengan lebih 1,000 peserta dari 25 negara menghadirinya.

Sementara itu, Hajiji berkata Sabah perlu mempunyai institusi pendidikan tinggi yang berkualiti untuk melahirkan graduan Sabah yang cemerlang dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, ia sejajar sasaran kerajaan negeri untuk mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar sekolah mendaftar dalam aliran sains menjelang tahun depan.

Beliau berkata, untuk generasi muda memimpin kemajuan negeri pada masa depan, ia memerlukan usaha kolektif bukan saja daripada Kerajaan Negeri tetapi juga semua pihak berkepentingan untuk terus menyokong dan membantu belia dalam setiap aspek pembangunan mereka.

“Kerajaan negeri sedar adalah penting pendidikan tinggi yang berkualiti disediakan untuk generasi muda kita, lebih-lebih lagi dalam era ini, di mana sains dan teknologi adalah pemacu utama kemajuan.

“Adalah penting sebahagian besar populasi pelajar di Sabah melibatkan diri dalam pendidikan STEM.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri telah menyediakan Pelan Strategik 2022-2025 sebagai panduan untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memperkasakan ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) di Sabah,” katanya.

Ketua Menteri berkata, dalam inisiatif pendigitalan, Sabah sedang meneruskan visinya untuk mencapai ekonomi digital yang maju, dengan berusaha mempercepatkan inisiatif transformasi digital di Sabah.

“Pada November tahun lalu, kita telah menandatangani perjanjian dengan Huawei Technologies Malaysia di Ibu Pejabat Huawei di Shenzhen, China, yang bertujuan untuk memperkasakan negeri dan rakyat kita untuk meraih manfaat daripada inovasi teknologi, memacu pertumbuhan ekonomi dan perkhidmatan awam yang lebih baik.

“Ini akan meliputi sektor pertanian, pembuatan pintar di bawah Industri 4.0, pelancongan, perancangan bandar pintar, e-dagang, infrastruktur digital, keterhubungan inklusif dan kerajaan digital.

“Usaha kerjasama ini akan merangkumi pelaksanaan perkhidmatan digital yang sedia AI dan berasaskan data untuk kerajaan, perniagaan dan masyarakat,” katanya. – Info X