KOTA KINABALU: Sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan setakat ini dengan tujuh daripadanya selesai dalam tempoh dua tahun kepemimpinan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen jelas Perdana Menteri sekarang untuk menyelesaikan tuntutan berkaitan MA63 yang dikemukakan Sabah dan Sarawak.
Katanya, di bawah PMX, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak diberi pengiktirafan sebagai Jabatan Teknik yang mana projek bernilai sehingga RM50 juta dikendalikan sendiri oleh JKR kedua-dua negeri.
“Begitu juga penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, ia diputuskan di bawah kepemimpinan PMX,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di SICC, hari ini.
Katanya, perkara lain yang selesai di bawah Anwar ialah pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 (Akta 533) bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Seterusnya, Fadillah berkata, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak juga diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Perkara lain yang diselesaikan di bawah PMX ialah garis panduan khas penyerahan semula tanah direzabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada kerajaan Persekutuan epada kerajaan Sabah.
“Satu lagi ialah cadangan mengenai Pindaan Perkara 95B berkaitan ubah suai bagi Sabah dan Sarawak mengenai Pembahagian Perundangan, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Fadillah berkata, ketika di bawah Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada tiga perkara berkaitan tuntutan MA63 yang sudah diselesaikan.
Perkara terbabit, katanya ialah penyerahan kuasa ke atas pentadbiran Pulau Sipadan Dan Pulau Ligitan kepada kerajaan Sabah, Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) D dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan serta pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.
Katanya, penyerahan kuasa kawal selia Liquefied Petroleum Gas (LPG) kepada kerajaan Sarawak adalah satu-satunya perkara yang diputuskan di bawah Perdana Menteri Kelapan, Datuk Seri Muhyiddin Yassin. – Info X