Search

Padang Merdeka sekali lagi jadi tumpuan Hari Malaysia

September 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2024 sekali lagi menjadikan Padang Merdeka, di sini, sebagai lokasi perhimpunan memperingati hari bersejarah pembentukan Malaysia.

Lokasi sama menjadi saksi pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara baharu menerusi penggabungan Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu, 61 tahun yang lalu.

Bagi sambutan ke-61 ini, pelbagai acara pengisian sudah disusun rapi sebagai tatapan ribuan pengunjung dan pemimpin dari seluruh negara yang dijangka membanjiri lokasi bersejarah itu.

Program sambutan Hari Malaysia kebangsaan itu dijadual bermula pada jam 8.30 malam sejurus ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Turut dijadual hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

Acara dimulakan dengan upacara pecah bendera Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), diikuti lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

Sejurus selesai, majlis diteruskan dengan tarian sambut tamu dan tayangan video ucapan menteri, sebelum ucapan alu-aluan Ketua Menteri Sabah dan diakhiri ucapan Perdana Menteri.

Program seterusnya ialah upacara Menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2024, disusuli upacara memotong kek sambutan Hari Malaysia dan tayangan video khas Hari Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meninjau persiapan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka.

Bacaan ikrar Rukun Negara dan simbolik perasmian sambutan Hari Malaysia 2024 kemudian menyusul, diikuti persembahan khas Malaysia Madani: Jiwa Merdeka dan persembahan hiburan serta kebudayaan, sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew menjadi pengerusi bersama sambutan Hari Malaysia pada kali ini. – Info X