KOTA KINABALU: PAS Sabah mengalu-alukan masyarakat bukan Islam di negeri ini untuk menjadi ahli bersekutu parti itu selaras pindaan perlembagaannya yang diluluskan dalam muktamar baru-baru ini.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata pembukaan keahlian kepada bukan Islam menunjukkan kematangan PAS sebagai parti yang inklusif sekali gus membuktikan PAS bukan parti ekstrem dan ganas.
Katanya, PAS sebelum ini juga mempunyai ahli bukan Islam yang berada dalam Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).
“Dalam konteks negeri Sabah yang mempunyai kepelbagaian etnik dan agama, PAS bersedia meluaskan jaringan dan hubungan kepada semua golongan.
“Islam sebagai sebuah agama yang syumul (bersifat menyeluruh dan sempurna) sememangnya mengutamakan keamanan dan kesatuan dan meraikan masyarakat majmuk,” katanya.
Berikutan itu, katanya bersesuaian dengan semangat perpaduan Hari Malaysia, PAS Sabah mengajak rakan-rakan bukan Islam untuk bersama PAS demi Sabah dan Malaysia yang sejahtera. – Info X