TENOM: Pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus digesa supaya bersatu hati untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Gesaan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Pengerusi GRS bagi memastikan rakyat di kawasan berkenaan mendapat pembelaan yang lebih baik di bawah kerajaan GRS-PH Plus.
“Kita tidak mahu rakyat di Melalap rugi kerana diwakili pembangkang. Oleh itu ahli-ahli GRS perlu bersatu hati bagi memastikan kemenangan bergaya GRS-PH Plus di DUN Melalap ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Melalap, di sini, pada Sabtu.
Yang turut hadir ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Melalap, Datuk Jamawi Jaafar; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang; Bendahari Agung Gagasan Rakyat, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar serta ketua parti komponen GRS dan PH.
Ketika ini, kerusi DUN Melalap diwakili Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony selepas memenanginya pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), September 2020.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut mengingatkan pemimpin di negeri ini supaya belajar daripada kesilapan masa lalu yang menyaksikan Sabah ketinggalan akibat perpecahan.
“Sejarah politik di Sabah asyik bergaduh. Ini harus jadi pengajaran, kalau bersatu hati dan bersandarkan kepada pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah akan mendapat perubahan yang begitu besar pada masa hadapan.
“Gagasan Rakyat adalah sebuah parti berbilang kaum dan matlamat perjuangannya untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan keturunan,” katanya.
Sementara itu, Hajiji memberi jaminan akan meneliti dan menimbang dengan sebaik mungkin usul diluluskan pada Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Melalap terutama berkaitan isu tanah.
“Terdapat banyak permohonan yang dibuat bertahun lamanya tetapi sehingga sekarang belum mendapat kelulusan. Saya sendiri ingin tahu mengapa ini terjadi,” katanya.
Beliau berkata, tanah perkampungan yang berada dalam kawasan hutan simpan akan dikeluarkan supaya rakyat dapat tinggal di atas tanah rizab kampung yang sah.
“Setelah kita ambil alih kerajaan, beribu-ribu ekar tanah telah dikeluarkan daripada Hutan Simpan di seluruh Sabah. Saya akan mengambil perhatian yang serius mengenai isu yang sama di daerah Tenom ini,” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji menerima sebanyak 1,500 borang keahlian baharu untuk menyertai Gagasan Rakyat Bahagian Melalap, selain menyampaikan sumbangan ikhlas kepada mangsa bencana alam yang melanda Tenom pada 17 September lalu. – Info X