KENINGAU: Jawatan dalam bahagian parti bukan tiket untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, berkata sebarang keputusan ditentukan kepemimpinan tertinggi GRS.
Katanya, di peringkat bahagian, apa yang lebih penting ialah ahli parti perlu memainkan peranan sebagai kuasa besar bagi memastikan kemenangan calon GRS.
“Ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat di peringkat bahagian tidak boleh mengambil resolusi sendiri, biarlah pimpinan atasan GRS mengambil keputusan berhubung pemilihan calon.
“Kita boleh sahaja berbeza pandangan dengan parti gabungan, tapi jangan sampai timbul perpecahan yang akhirnya akan merugikan GRS,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tulid, di sini, semalam.
Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejatheraan Rakyat Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Datuk Flovia Ng.
Masiung berkata, hubungan kerjasama parti gabungan GRS adalah berdasarkan prinsip saling menghormati dalam mengemudi kerajaan negari.
ADUN Kuamut itu bagaimanapun berpesan supaya Aahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat di semua peringkat bersiap siaga mendepani pilihan raya pada bila-bila masa.
Katanya, setiap pemimpin sama ada pemuda, wanita atau beliawanis perlu mematuhi arahan Ahli Majlis Tertinggi Pusat tanpa sesuka hati membuat sebarang gerakan mengikut acuan sendiri. – Info X