SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah kapal tangki membawa
8,000 liter petrol tanpa surat kebenaran yang sah, baru-baru ini.
Kapal tangki itu ditahan APMM Zon Sandakan dalam Op Pluto/Op Khas Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris kira-kira jam 4 pagi ketika sedang menuju ke Telukan Sandakan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, hasil pemeriksaan, kapal itu dikendalikan oleh seorang warga tempatan berusia 72 tahun dibantu lima anak kapal warga tempatan dan warga asing.
Katanya, lima ada kapal berusia 33 hingga 41 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kapal tangki muatan 8,000 liter petrol itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu membawa barang kawalan tanpa kebenaran atau dokumen yang sah dan Akta Kastam 1967 kerana mengemukakan dokumen yang meragukan.
“Semua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau hubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – Info X