Search

Premier Sarawak dahului senarai penerima darjah kebesaran Sabah

October 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg mendahului senarai penerima darjah kebesaran negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.

Abang Johari adalah antara empat penerima darjah kebesaran tertinggi negeri Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Tiga lagi penerima SPDK ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rashid dan ahli perniagaan, Datuk Kumar Prabakaran.

Sementara itu, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, termasuk dua berjawatan Pembantu Menteri tersenarai antara penerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Peto Galim yang juga ADUN Inanam dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Tan Lee Fat (ADUN Likas).

Empat lagi ialah ADUN Tanjung Kapor, Ben Chong Chen Bin; ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin; ADUN Kukusan, Rina Jainal dan ADUN Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan.

Turut menerima PGDK ialah Panglima 5 Briged, Kem Lok Kawi, Brigadier Jeneral Mohd Zamri Abdullah dan Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Ahadin Arinen.

Penerima PGDK seterusnya ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Leonard Stephen Poyong; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Maria Chong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Josie Lai Mei Sing.

Selain itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jumain Jikah Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Philemon Lajawai; Pengurus Besar Lembaga Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Rosemary Ahping dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sawit Kinabalu, Victor Ationg turut menerima PGDK.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Risikan / Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus; Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Dasar Sumber) JPJKK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Saiman Kasran; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim antara pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menerima PGDK.

Secara keseluruhan seramai 87 individu menerima PGDK pada tahun ini.

Selain itu, seramai 116 orang menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), diikuti 274 orang menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 320 orang menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 421 orang menerima Bintang Kinabalu (BK), 144 orang menerima Sijil Kehormat, manakala 10 orang menerima Jaksa Pendamai. – Info X