Search

Hala Tuju SMJ sudah nampak hasil positif – Ketua Menteri

October 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Agenda pembangunan negeri yang berpaksikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berada di landasan yang betul dan sudah menampakkan hasil positif.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, setelah genap empat tahun menerajui negeri, kerajaan dengan penuh keyakinan terus mara ke hadapan melaksanakan hala tuju negeri dengan penekanan kepada sektor penting khususnya pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Beliau berkata, ketiga-tiga sektor itu melonjakkan ekonomi negeri sehingga menarik pelabur ke Sabah, sekali gus membuka ribuan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Selain itu, katanya kerajaan turut memberi tumpuan untuk membangunan modal insan dan memperkasa kesejahteraan rakyat.

Hajiji mengiringi Abang Johari pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran di Istana Seri Kinabalu.

“Dengan sokongan jemaah kabinet negeri segala perancangan dan dasar dapat dilaksana, sesuai dengan Hala Tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan pembangunan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin Ke-71 di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu, Sabah menyumbang 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.

Katanya, Sabah menerima pelaburan sebanyak RM11.34 bilion iaitu yang ketujuh tertinggi di Malaysia, dengan 13.3 peratus diperolehi menerusi sektor pembuatan pada tahun lalu.

Beliau berkata, kehadiran pelancong ke Sabah juga semakin meningkat iaitu seramai 1.7 juta pelancong setakat Januari hingga Julai 2024, dengan pelancong tempatan lebih 1.05
juta dan antarabangsa seramai 706,383 orang.

Hajiji bersama Abang Johari di Istana Seri Kinabalu.

“Perkembangan ini jelas bahawa sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan masa akan datang serta dapat mencapai sasaran seramai tiga juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.

Jelasnya, walaupun pencapaian dalam tempoh empat tahun pemerintahan dengan pelaksanaan lebih tiga tahun Hala Tuju SMJ sejak dilancarkan pada Mac 2021, namun banyak lagi yang perlu kerajaan lakukan.

Katanya, Kerajaan negeri terus bertekad memperhebatkan lagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program serta inisiatif yang meliputi pelbagai sektor.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri sedang menerokai potensi Ekonomi Biru (Blue Economy) iaitu penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu dan lain-lain produk industri yang boleh dihasilkan daripadanya.

“Negeri Sabah yang dikelilingi Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi, berpotensi tinggi untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru.

“Bagi merealisasikan usaha ini, kerajaan akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkaitan ‘The Blue Economy’, pada bulan ini,” katanya.

Hajiji percaya rakyat bijak menilai fakta pencapaian kerajaan hari ini yang bertanggungjawab bukan saja memikirkan, merancang malah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat.

Sementara itu, pada istiadat berkenaan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg mendahului senarai penerima darjah kebesaran Sabah dengan menerima darjah kebesaran tertinggi negeri, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. – Info X