KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu adalah antara enam ADUN Sabah, termasuk dua berjawatan Pembantu Menteri tersenarai menerima PGDK yang membawa gelaran Datuk.
Aliakbar adalah pemimpin pertama PAS di Sabah menjadi ADUN secara lantikan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.
Selain beliau, beberapa pemimpin PAS di Sabah turut tersenarai menerima pingat kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tun Juhar pada kali ini.
Antara mereka ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Mohd Afifi Shaiffuddin yang menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norjanah JamJam menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK).
Penerima lain ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Libaran, Abdul Wahid Mohd Rafi menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK); Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Kinabalu, Mohd Tarmizi Mohd Yahya (Bintang Kinabalu) dan guru PASTI, Norlayla Abdul Rahim (Pingat Perkhidmatan Terpuji).
Secara keseluruhan seramai 87 individu menerima PGDK, manakala seramai 116 orang menerima ASDK, diikuti 274 orang menerima ADK, seramai 320 orang menerima BSK, 421 orang menerima Bintang Kinabalu (BK), 144 orang menerima menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) manakala 10 orang menerima Jaksa Pendamai.
Selain itu, empat orang menerima darjah kebesaran tertinggi negeri, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima yang didahului Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Aliakbar atas kurniaan darjah jebesaran negeri.
“Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada beberapa orang pimpinan PAS Sabah lain yang turut menerima Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena hari kebesaran ini,” katanya.
Mustaman mewakili PAS Sabah juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar atas penganugerahan itu yang disifatkannya sebagai satu pengiktirafan kepada sumbangan PAS.
“Semoga dengan pengiktirafan ini akan menguatkan lagi semangat seluruh ahli PAS Sabah untuk sentiasa prihatin dan proaktif memelihara kepentingan serta kebajikan rakyat di semua peringkat,” katanya. – Info X