KUDAT: Seorang wanita warga emas ditemui rentung selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Kampung Pituru, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Lo Hiong Lan, 76, yang tinggal sendirian ditemui di kawasan ruang tamu selepas api berjaya dipadamkan anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 10.10 malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 45 kilometer dari balai bomba.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar sepenuhnya.
“Kebakaran telah dipadamkan oleh orang kampung sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, setiba di lokasi didapati masih terdapat bara-bara api dan tindakan operasi pemadaman menggunakan sumber air tangki di kawasan rumah.
“Terdapat seorang mangsa ditemui di kawasan rumah tamu ketika proses ‘overhaul’ dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 pagi dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya. – Info X