KOTA KINABALU: Pemimpin tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijadual bermesyuarat bulan depan, antara lain bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) termasuk soal rakan kerjasama.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata mesyuarat itu mungkin membuat keputusan sama ada UMNO Sabah yang sejak tahun lalu menarik diri daripada kerjasama politik dengan GRS dimasukkan semula sebagai rakan untuk menghadapi PRN17.
Katanya, situasi politik di Sabah unik kerana hanya UMNO menarik sokongan daripada kerjasama membentuk kerajaan negeri, namun beberapa pemimpinnya masih dikekalkan dalam kerajaan.
Beliau mendakwa, situasi itu disebabkan tindakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan daripada kerajaan negeri, sedangkan pemimpinnya yang lain masih bersama kerajaan.
“Menarik sokongan dari kerajaan ialah Bung Moktar manakala pemimpin UMNO yang lain masih lagi ada dalam kerajaan.
“Contohnya, kita ada menteri, pembantu-pembantu menteri dan jawatan-jawatan lain yang dipegang oleh pemimpin UMNO.
“Oleh itu, apa yang boleh saya kata kita lihat nanti keputusan hasil mesyuarat tertinggi. Kita serahkan kepada pemimpin GRS yang akan memutuskan nanti kerana saya tidak boleh bercakap bagi pihak diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Taklimat Gerak Kerja Wanita GRS, di sini, semalam.
Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau terbuka sekiranya UMNO kembali menjadi sebahagian daripada rakan kerjasama GRS.
Pada awal tahun lalu, UMNO Sabah menarik diri daripada kerjasama dengan GRS atas alasan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri sebelum melakukan cubaan menukar kerajaan bersama Warisan yang disebut Langkah Kinabalu, namun gagal. – Info X