Search

Peter saman Zulkarnain RM100 juta

October 9, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony menyaman Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar sebanyak RM100 juta.

Saman yang dihantar melalui peguamnya pada Isnin lalu itu dibuat selepas Zulkarnain didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya selain mendahului mahkamah berhubung kes dihadapi Peter.

Pada sidang media di pejabat PKDM hari ini, Peter berkata kenyataan Zulkarnain menerusi TikTok yang antara lain mempertikaikan kelayakannya menjadi menteri sebelum ini disebabkan kes yang ditanggungnya adalah tidak wajar, selain berbaur penghinaan terhadap mahkamah.

Peter berkata, fitnah yang dibuat Zulkarnain menjejaskan reputasinya sebagai Presiden PKDM, Presiden Pertubuhan Kadazandusun Murut Malaysia (KDM), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dan Presiden Persatuan Bola Sepak Tenom.

“Fitnah dilemparkan beliau seolah-olah saya tidak jujur dan tidak ikhlas atau mengamalkan sesuatu yang tidak baik.

“Banyak yang tidak boleh disebut sebab masih dalam mahkamah. Saya masih wakil rakyat dan menerima gaji sebagai wakil rakyat.

“Dia (Zulkarnain) tidak boleh mendahului mahkamah, saya belum didapati bersalah selagi Mahkamah Rayuan belum putuskan,” katanya merujuk kepada kes rayuannya di Mahkamah Rayuan yang keputusannya dijadual didengar pada 27 November depan.

Peter menunjukkan surat saman yang dihantar kepada Zulkarnain melalui peguamnya.

Peter mendakwa tindakan Zulkarnain yang menyifatkan beliau tidak layak dilantik sebagai menteri di bawah kerajaan negeri terdahulu kerana terpalit dengan kes mahkamah selain masih memegang jawatan dalam syarikat adalah tidak benar.

Katanya, sebelum bertanding, beliau sudah meletak jawatan dalam perniagaan dan hanya menumpukan tugas sebagai wakil rakyat selepas itu hingga ke hari ini.

Beliau turut menjawab tuduhan berkaitan penamatan syarikat konsesi air ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur sebelum ini yang didakwanya dibuat atas arahan kementerian.

“Saya nampak banyak masalah apabila masuk dalam kementerian itu, jadi ia harus ditambah baik. Apabila periksa semua loji rawatan air (LRA), memang berlaku masalah keseluruhannya.

“Jadi kita hentikan konsesi dan lantik lebih 3,000 kakitangan. Daripada bayar RM200 hingga RM300 juta sebulan kepada syarikat konsesi, dengan tindakan itu kerajaan hanya bayar RM3 juta sebulan.

“Hasilnya ada RM100 juta lebihan pada hujung tahun dan tiada masalah loji yang diambil alih pada 2018, 2019 dan 2020, jadi apa kaitan dengan saya sekarang, ia keputusan kementerian,” katanya.

Peter turut tertanya-tanya siapa yang mengarahkan Zulkarnain membuat tuduhan itu sedangkan beliau tiada sebarang isu dengannya.

Katanya, tindakan itu mungkin dibuat kerana ada pihak yang merasa terancam dengan sambutan baik diterima PKDM setiap kali mengadakan program bertemu rakyat. – Info X