TAWAU: Tiga lelaki masing-masing dipenjara dan denda lebih RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh, iaitu Yew Chin Soon, 44; Richard Ambrose, 62, dan Tee Chien, 31.
Mengikut kertas pertuduhan, Yew dan Richard didakwa melakukan kesalahan di Jalan Chong Thien Vun, masing-masing pada 5 Oktober lalu, jam 11.40 malam dan 8 Oktober lalu, jam 12.01 tengah malam.
Manakala, Tee pula didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Haji Sahabuddin pada jam 2.41 pagi, 8 September lalu.
Tee yang juga pemandu kenderaan turut melanggar sebuah motosikal yang diletak berhampiran sebuah kedai serbaneka di Jalan Haji Sahabuddin.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Dayang Aidaku kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua hari, denda RM11,000 terhadap Yew; Richard dipenjara sehari, denda RM11,500 dan Tee pula penjara sehari, denda RM13,000.
Majistret turut memerintahkan lesen memandu semua tertuduh digantung selama dua tahun dan dikenakan hukuman penjara tiga hingga tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala Yew dan Richard tidak diwakili peguam. Hanya Tee diwakili peguam, iaitu Vivian Thien.
Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada tertuduh.
Katanya, hukuman berat itu mengambil kira kepentingan awam dan banyak risiko yang akan berlaku akibat memandu dalam keadaan mabuk.
“Kes mabuk di Tawau juga semakin meningkat, oleh itu hukuman yang lebih tinggi dapat memberi kesedaran serta peringatan kepada tertuduh dan pemandu lain,” katanya. – Info X