Search

Tun Juhar beri sumbangan kepada Crisnanalina

October 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, selaku Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi sumbangan untuk membantu pelajar dari Paitan, Crisnanalina Jumis yang sebelum ini dilaporkan menghadapi kesukaran untuk melanjutkan pengajian di UMS.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Istana Seri Kinabalu, Tun Juhar memberi sumbangan komputer riba dan bantuan perbelanjaan bagi persiapan Crisnanalina mendaftar di UMS.

Tun Juhar juga membantu menyelesaikan yuran pendaftaran kemasukan pelajar terbabit ke UMS.

“Bantuan ini adalah sumbangan prihatin daripada Tun Juhar yang mahu Crisnanalina menerima kemudahan secukupnya bagi membolehkan beliau menyambung pengajian ke universiti.

“Sebagai Canselor UMS, perkara berkaitan kebajikan pelajar khususnya amat dekat di hati Tun Juhar.

“Justeru bantuan ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban serta menguatkan semangat Crisnanalina untuk menempuh kehidupan sepanjang berada dalam pengajian,” kata kenyataan Istana Seri Kinabalu.

Sebelum ini, media melaporkan kesukaran dihadapi Crisnanalina yang berasal dari Kampung Dalamas, Paitan untuk membayar yuran pendaftaran dan pelbagai perbelanjaan berkaitan serta memohon bantuan pelbagai pihak bagi membolehkan beliau mendaftar dan memulakan pengajian di UMS.

Susulan itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar terbabit bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti. – Info X