KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, antara pemimpin terawal mencalonkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok beliau, Verdon berkata beliau memilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor, iaitu antara empat kerusi DUN dalam Parlimen Kudat.
Verdon berkata, sejajar statusnya sebagai wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat ketika ini, beliau turut mengesahkan akan kekal bertanding atas tiket yang sama pada PRN17 nanti.
Katanya, langkah itu bagi mematuhi Akta Anti Lompat Parti yang menegah mana-mana wakil rakyat daripada berpindah parti jika enggan kerusi mereka dikosongkan.
“Saya mempunyai dua pilihan, sama ada masuk dalam mana-mana parti ataupun saya bertanding secara bebas dan sekiranya saya masuk dalam mana-mana parti, bermakna saya perlu kosongkan kerusi Parlimen saya ketika ini.
“Sebab, kalau saya masuk mana-mana parti, mengikut Akta Anti Lompat Parti, jelas menyatakan bahawa sebagai wakil rakyat bebas, saya tidak boleh menyertai mana-mana parti.
“Sekiranya saya menyertai mana-mana parti tanpa mengosongkan kerusi saya dahulu dan kerusi itu dikosongkan secara paksa melalui Dewan Rakyat atau mahkamah, maka saya tidak layak bertanding selama lima tahun.
“Mengikut perkiraan saya, agak terlalu besar untuk saya mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi satu kawasan Parlimen dan oleh yang demikian saya lebih suka atau lebih baik saya bertanding sebagai calon bebas pada PRN akan datang,” katanya.
Verdon berkata, tekanan yang dirasainya sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bebas sejak November 2022 mendorongnya untuk bertanding pada PRN nanti supaya dapat membawa suara rakyat di peringkat DUN.
Katanya, banyak perkara tidak dapat beliau laksanakan sebagai seorang Ahli Parlimen di kawasannya memandangkan kuasa untuk membangunkan kawasan terletak di bawah kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Maka, pada hujung tahun lalu saya menyatakan hasrat untuk bertanding di DUN disebabkan oleh tekanan-tekanan ini. Saya memilih untuk bertanding di DUN Tanjong Kapor dan saya tidak akan mengubah pendirian itu,” katanya.
Katanya, beliau yakin pengumumannya untuk bertanding pada PRN17 akan mendorong pemimpin dan parti lain untuk bekerja keras memajukan kawasan Kudat, namun akhirnya rakyat akan memilih siapa yang difikirkan sesuai untuk mewakili mereka di DUN nanti.
Ketika ini, DUN Tanjong Kapor diwakili Datuk Ben Chong Chen Bin yang memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan (Warisan) pada PRN16, September 2020 sebelum keluar parti pada Februari 2023 dan kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) selaku komponen tunjang Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Info X