Search

Penunggang motosikal maut terperosok bawah kereta

October 11, 2024

Info X Reporters

TENOM: Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kemabong, di sini petang tadi.

Mangsa Amir Mustafa, 55, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Penolong Penguasa Bomba, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.28 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kemalangan membabitkan tiga kenderaan jenis Proton Iswara, Perodua Bezza bertembung dengan motosikal.

“Penunggang motosikal didapati terperosok di bawah kereta Proton Iswara. Pasukan bomba bersama orang awam bertindak mengangkat kereta bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba bersama orang awam mengangkat kereta bagi mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah sebuah kereta. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 7.01 malam,” katanya. – Info X