TAWAU: Suami isteri cedera selepas lori tiga tan yang mereka naiki bertembung dengan treler di Jalan Kampung Beruang Bombalai, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa pemandu lelaki berusia 70 tahun cedera di bahagian tangan dan paha kanan, manakala isterinya berusia 61 tahun cedera di bahagian muka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.11 pagi tadi.
Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah lori tiga tan terbabas ke bahu jalan selepas dipercayai bertembung dengan sebuah treler.

“Terdapat tiga mangsa terbabit dalam kemalangan itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dua daripadanya iaitu pemandu dan penumpang lori tiga tan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi kejadian, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 1.51 pagi,” katanya. – Info X