KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, menjelaskan kenyataannya mengenai PAS Sabah sebelum ini mahu mengingatkan rakyat Sabah betapa hipokritnya rakan politik PAS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menjawab warkah terbuka Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang ditujukan kepadanya, Azis berkata kenyataan beliau yang diungkit pemimpin PAS itu bukan untuk mewujudkan konfrontasi.
Katanya, PAS masih mahu bersama GRS walaupun parti komponen dalam gabungan itu menggelar PAS dengan pelbagai panggilan yang menggambarkan keengganan mereka menerima kewujudan parti itu di Sabah.
“Kenyataan saya tiada niat untuk berkonfrantasi tetapi untuk mengingkatkan kepada rakyat Sabah betapa hipokritnya rakan-rakan politik YB Datuk Dr Aliakbar dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu sendiri.
“Sama ada YB sedar atau tidak atau buat-buat tidak sedar….siapakah yang sebelum ini membangkitkan isu PAS sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’, ‘Parti Ekstrem’, dan ‘Parti Rasis’, Parti Tidak sesuai di Sabah? sila google sendiri kenyataan-kenyataan rakan-rakan Parti YB dlm GRS berkenaan parti YB.
“Kebimbangan terhadap kehadiran PAS ini telah disuarakan oleh masyarakat bukan Islam di Sabah, yang bimbang bahawa parti tersebut tidak ‘compatible’ dengan kebebasan beragama dan budaya di negeri ini.
“Contoh nyata ialah suara-suara daripada komuniti Kadazan-Dusun-Murut (KDM) termasuklah pimpinan dalam GRS sendiri yang merasakan bahawa nilai-nilai PAS adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang mereka junjung tinggi.
“Namun, peliknya dalam mereka tidak selesa dan tidak terima, mereka juga membisu dan diam bila YB dimasukkan ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Hajiji (Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor) mewakili parti PAS dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hari ini GRS dikenali sebagai parti yang bermain ‘Dua Kolam’ disebabkan keberadaan Aliakbar selaku wakil PAS dan PN dalam kerajaan GRS.
Sementara itu, Azis berkata kenyataan beliau mengenai PAS sudah tercatat dalam sejarah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.
“PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Sabah dan tidak pernah masuk ke dalam DUN Sabah walau sekali sejak mula bertapak di sini adalah satu FAKTA. Kehadiran PAS di DUN Sabah adalah hasil pelantikan oleh Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri melalui kerusi lantikan, dan bukan melalui mandat rakyat Sabah,” katanya.
Azis memberi kenyataan balas terhadap warkah terbuka ditulis Aliakbar kelmarin yang antara lain menegur bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berhubung satu video di TikTok yang menyentuh mengenai PAS Sabah.
Menerusi satu hantaran di Facebook beliau sebelum ini, Aliakbar menulis satu teguran bertajuk ‘Warkah terbuka buat Datuk Azis Jamman’ yang ditujukan kepada pemimpin Warisan itu.
Dalam tulisannya, Aliakbar membangkitkan kenyataan Azis dalam satu video di TikTok yang antara lain menyebut bahawa PAS sebagai sebuah parti Malaya kini sudah ada dalam DUN Sabah.
Kenyataan itu secara tidak langsung merujuk kepada Aliakbar selaku satu-satunya, selain pemimpin pertama PAS di Sabah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah secara lantikan. – Info X