Search

Wujudkan sekretariat kekal bendung pendatang asing di Sabah – Masiung

October 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Satu sekretariat kekal perlu diwujudkan bagi membendung kehadiran pendatang asing yang semakin bertambah di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata kerajaan negeri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bergabung tenaga untuk membentuk sekretariat itu.

Katanya, langkah untuk menubuhkan sekretariat itu adalah selaras dengan cadangan yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah, sebelum ini.

“Laporan menunjukkan pada 2022, secara keseluruhanya terdapat 3.9 juta penduduk Sabah yang mana 1.9 juta daripadanya adalah warga asing yang membentuk empat kategori pendatang.

“Pertama ialah pendatang tanpa izin (PATI), kedua ialah pelarian perang yang memegang kad IMM13 dan Burung-Burung, ketiga ialah rakyat asing tanpa warga negara dan keempat warga asing yang memiliki dokuman tidak sah atau Projek IC.

“Saya anggarkan sehingga kini lebih dua juta pendatang asing bertapak di Sabah kerana laporan pada 2022 iaitu seramai 1.9 juta adalah yang telah dibanci, sedangkan ramai lagi pendatang tidak dapat didaftarkan di seluruh pelusuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu membuat perbandingan di Sarawak yang merekodkan jumlah penduduk seramai 2.82 juta, dengan hanya 159,000 rakyat asing.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Masiung berkata, isu pendatang asing di Sabah hanya berlegar pada musim kempen pilihan raya, namun belum ada tindakan konkrit untuk menyelesaikannya.

Katanya, banyak perkara perlu diperbaiki untuk menangani isu pendatang asing di Sabah, antaranya menutup 48 lokasi yang dikenal pasti menjadi lorong tikus pendatang dari Filipina dan 17 lokasi di sempadan Sabah-Kalimantan.

Beliau mendakwa, semua lokasi lorong tikus yang dikenal pasti itu belum diwartakan kerajaan sejak 40 tahun lalu dan ia memberi ruang yang luas kepada pendatang asing membolosi sempadan untuk masuk ke Sabah.

Selain itu, katanya terdapat lebih 200 pulau-pulau kecil termasuk 52 pulau di pantai timur yang tidak mempunyi penghuni.

“Pulau-pulau ini seringkali dijadikan transit pendatang sebelum memasuki Sabah. Sempadan laut di Sabah yang panjang meliputi 1,700 kilometer juga turut menjadi faktor kebolosan pendatang asing terutama dari Filipina.

“Saya tidak menyatakan unit penguatkuasa kita tidak menjalankan tugas dengan tulus hingga wujud pembolosan rakyat negara jiran.

“Tapi, apa yang dikhabarkan oleh warga asing terbabit setelah berjaya memasuki Sabah, mereka perlu membayar sejumlah wang kepada tekong membawa mereka masuk kononya membebaskan mereka dari sekatan pihak berkuasa.

“Walaupun khabar itu kurang jelas tetapi siasatan terperinci perlu dilakukan,” katanya. – Info X