KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang pada mulanya disangka terjun untuk mandi-manda di sungai Kampung Lokub, Manggatal, di sini, disahkan terjatuh sebelum hilang.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, mangsa Indah Tawasil, kemudiannya ditemui mati lemas pada jam 6.30 petang tadi selepas operasi pencarian hampir enam jam, bermula 1.40 tengah hari tadi.
Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi membantu mencari mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi, pihaknya terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat termasuk menggunakan Pasukan Penyelamatan di Air
(PPDA).
“Dalam tempoh lebih kurang 20 minit, pasukan penyelam memberi isyarat bahawa mangsa telah ditemui namun tidak dapat dikeluarkan kerana tersangkut dengan objek yang sangat kritikal di dalam sungai berkenaan,” katanya pada sidang media di lokasi.
Ordine berkata, mangsa ditemui di kedalaman kira-kira enam meter di dasar sungai yang penuh dengan sampah sarap.
Katanya, pasukan PPDA kemudiannya membuat kedua dan mangsa akhirnya berjaya dibawa nail ke darat pada jam 6.30 petang.
“Operasi berdepan kesukaran berikutan keadaan arus sungai yang deras selain timbunan sampah sarap yang memenuhi dasar sungai.
“Secara keseluruhannya, operasi membabitkan seramai 60 anggota dan pegawai manakala pencarian di dasar sungai pula membabitkan 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Operasi pencarian pula dilakukan dalam radius 15 meter hingga 18 meter dengan dibantu penduduk kampung dan mangsa berjaya ditemui kira-kira 12 meter dari lokasi terjatuh,” katanya.

Ordine berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.47 petang. – Info X