Search

Belanjawan 2025: Peruntukan pembangunan Sabah naik 0.45 peratus

October 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah menerima peruntukan pembangunan RM6.7 bilion, membabitkan kenaikan 0.45 peratus pada tahun depan menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu meningkat sedikit berbanding RM6.67 bilion yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

“Ini sudah memadai untuk meneruskan projek pembangunan pada tahun akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada tahun depan,” katanya.

Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat, hari ini.

Hajiji menyifatkan Belanjawan Madani 2025 sebagai cerminan langkah progresif Kerajaan Perpaduan untuk menyediakan kehidupan yang sejahtera kepada rakyat tanpa menjejaskan ekonomi negara.

Jelasnya, kerajaan negeri menghargai keprihatinan Perdana Menteri meletakkan kepentingan hak Sabah yang tidak boleh dipertikaikan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hajiji Noor mengikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri dari Menara Kinabalu.

“Kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan bayaran khas interim Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun depan, yang turut dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

“Sabah mengalu-alukan tumpuan berterusan Kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan wilayah melalui penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri mengenai surat setuju terima (SST) bagi 17 pakej Fasa 1B Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sudah diserahkan kepada kontraktor untuk memulakan kerja pembinaan.

Pakej itu merangkumi jajaran Kota Belud – Kudat; Tawau ke Kampung Lot M, Sandakan dan Telupid ke Ranau yang bernilai RM9.7 bilion.

“Kita turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan yang telah memuktamadkan pakej kerja Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion, dengan dua pakej sudah dianugerahkan, manakala bakinya sebelum akhir tahun ini.

“Sabah juga mengalu-alukan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah turut menerima peruntukan untuk membaiki sekolah daif di negeri ini yang dilaksanakan menerusi Kementerian Pendidikan.

Beliau menyifatkan Belanjawan 2025 jelas menunjukkan keadaan ekonomi Malaysia yang berada dalam aliran semakin meningkat dan kukuh. – Info X