KOTA KINABALU: Syarikat utiliti elektrik bagi Sabah dan Labuan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dijenamakan semula sebagai Sabah Electricity dengan imej korporat yang baharu bermula hari ini.
Menerusi penjenamaan itu, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini menggunakan lambang korporat bermotif Gunung Kinabalu dengan warna biru dan hijau menggantikan lambang ‘plug’ elektrik merah sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Madius Tangau, berkata perubahan imej itu selaras dengan komitmen syarikat untuk meningkatkan kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan yang disediakan.
“Seluruh warga SESB kini mengorak langkah sebagai satu pasukan yang progresif untuk membawa nama SESB kembali bersinar dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
“Lantaran itu, pada hari ini, sebuah lagi sejarah terukir, menandakan sebuah anjakan baharu kepada warga SESB. Kita sudah melepasi usia 25 tahun sejak diswastakan pada 1998.
“Jika dahulu tidak pernah wujud seorang Pengerusi SESB tempatan, selepas 25 tahun kini SESB mempunyai pengerusi anak jati Sabah sendiri, malah selepas 25 tahun, kawal selia ekosistem tenaga juga kini berada di bawah kuasa Kerajaan Sabah secara total.
“Sebelum ini, kita mengalami
evolusi bermula sebagai Lembaga Letrik Borneo Utara, seterusnya Lembaga Letrik Sabah (LLS) dan kemudiannya SESB. Sepanjang hampir 70 tahun, kita menjalani proses pembaharuan dan pertukaran logo sebanyak lima kali.
“Jadi pada hari ini, 25 Oktober 2024, saya mengumumkan penjenamaan semula SESB sebagai transformasi budaya kerja menyeluruh seluruh kakitangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran jenama baharu syarikat utiliti itu, di sini. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir Mohd Yaakob Jaafar.
Sejajar dengan penjenamaan semula itu, kaunter perkhidmatan pelanggan syarikat berkenaan yang sebelum ini beroperasi di Bangunan SESB kini dipindahkan di Kompleks Kuwasa, di sini.
Sementara itu, Mohd Yaakob berkata pemindahan kaunter perkhidmatan pelanggan ke Bangunan Kuwasa dengan konsep pejabat yang lebih moden, kondusif dan mesra pelanggan adalah antara usaha untuk menampilkan imej Sabah Electricity yang baharu.
Jelasnya, pemindahan operasi perkhidmatan pelanggan syarikat itu juga diputuskan berikutan masalah keuzuran bangunan Wisma SESB yang sudah berusia 46 tahun dan disahkan tidak selamat untuk digunakan lagi.
Selain itu, beliau berkata Sabah Electricity turut memperkenalkan talian Careline baharu 15444 untuk kegunaan pelanggannya, bagi menggantikan talian 15454 yang digunakan sebelum ini. – Info X