Search

Ahli perniagaan kemuka tuntutan palsu RM45,000

October 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tengah malam tadi, selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pembekalan bahan mentah bagi penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah bernilai RM45,000.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu itu kepada salah sebuah pejabat pendidikan daerah di Sabah.

Menurut sumber, suspek yang juga pemilik perniagaan ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam, ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Sabah.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 November 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Portia Tham Ong Leng.

Ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini untuk perintah reman.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2024 di mana telah mengemukakan dua tuntutan bayaran kira-kira RM25,000 dan RM20,000.

“Tuntutan bayaran itu adalah bertujuan bagi membekalkan bahan mentah bagi pembaikan dan penyelenggaran sekolah tetapi pembekalan tidak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut beliau lagi, pihaknya menjangkakan ada beberapa tangkapan susulan akan dibuat lagi. – Info X