KOTA KINABALU: Seorang bapa tidak dapat menahan sebak apabila mendengar tangisan dan rayuan anaknya yang diculik sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar minta untuk diselamatkan.
Anak lelakinya yang berusia 29 tahun itu dikatakan hanya akan dilepaskan sekiranya dibayar wang tebusan sebanyak RM130,000 kepada sindiket berkenaan.
Menurut Abdul Rahman Hamid, 60, anaknya Mohd Addie Azrinn, pergi ke Thailand pada 17 Oktober lalu selepas dijanjikan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan mencecah lebih RM5,000 sebulan tidak termasuk beberapa lagi elaun lain.
Bagaimanapun katanya, harapan tinggi anaknya itu tidak kesampaian apabila dia sebaliknya ditahan sebelum dibawa ke Mae Sot, Myanmar.
“Jumlah tebusan yang diminta tu USD 30,000, itulah yang sempat dia cakap malam tu, kemudian abang dia tanya kalau keadaan tebusan tu dibayar macam mana.
“Cara pembayarannya, mesti bank in pakai bitcoin melalui crypto bank. Lepas tu kita tidak tahu apa tu crypto apa semua tu kemudian kita minta faham dia cakap esok tengah hari pukul 12 dia akan call,” katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, ketika berhubung menerusi aplikasi WhatsApp, anaknya berada dalam keadaan susah hati sehinggakan dan merayu kepadanya mencari wang bagi membayar tebusan.
Malah katanya, ahli sindiket berkenaan memberitahu bahawa anaknya ditahan dan sukar diberi pekerjaan kerana tidak boleh bercakap bahasa Cina atau Inggeris.
Sementara itu, ketika ditanya bagaimana boleh terpedaya dengan tawaran kerja itu, Abdul Rahman berkata, ia bermula apabila bekas rakan sekolah anaknya menawarkannya sebagai pengganti untuk melakukan pekerjaan berkenaan.
Katanya, anak ketiganya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap memilih untuk mencuba nasib disebabkan tawaran yang cukup lumayan.
“Harapan saya, satu saja saya minta bantuan agar anak saya dapat dibawa balik ke Sabah dengan selamat ke pangkuan kami.
“Saya berharap adalah pihak-pihak yang tertentu terutama pihak kerajaan, Ketua Menteri Sabah tolong ataupun PMX bantu bagaimana saya dapat balik anak saya.
“Sebab dari segi wang tebusan, saya terus terang memang saya tidak mampu untuk menyediakan wang yang begitu besar,” katanya.
Abdul Rahman berkata, keluarganya sudah membuat laporan polis namun kita masih menemui jalan buntu untuk menyelamatkan anaknya itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jasimeh berkata, sebanyak 2,000 aduan sudah diterima pihak MHO berkaitan penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Menerusi jumlah itu seramai 300 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang ke tanah air.
“Kita hendak mengingatkan orang awam khususnya yang berasal dari kawasan pedalaman Sabah agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pekerjaan ke luar negara.
“Modus operandi sindiket ketika ini mereka mensasarkan individu yang berasal luar bandar dan pedalaman untuk dijadikan mangsa pemerdagangan,” katanya. – Info X